Thursday, 1 January 2015

Tidak Berniat Ihram


Syeikh Ibn Utsaimin rh, bekas Mufti Besar Arab Saudi pernah ditanya mengenai hal mereka yang melalui miqat akan tetapi tidak berniat Ihram, jawab beliau :-
Jika seseorang melalui Miqat Ihram, salah satu dari 2 scenario ini boleh diaplikasikan
- Samada dia berniat untuk melakukan Haji atau Umrah, dan dalam kes ini dia kena kembali ke Miqat dan berniat Ihram bagi ibadat Haji atau Umrah yang dia ingin lakukan : Jika dia tidak melakukan demikian, maka dia telah meninggalkan perkara wajib didalam Ibadat Haji/Umrah. Keatas ini menurut ulama' dia dikenakan fidyah : dam menyembelih kambing di Makkah, diedarkan kepada orang fakir disana.


- Atau jika dia melaluinya (miqat) tanpa berniat Haji atau Umrah, maka tiada ada apa-apa baginya." {Majmu' Fataawa al-Syiekh Ibn Utsaimin, Jld 12 Soalan : 341).

Bagi anda yang bermusafir dari Malaysia ke Madinah atau ke Makkah, sudah tentulah berazam atau memasang niat untuk menunaikan Umrah, maka berihramlah di Miqatnya. Tidak mungkin, seseorang yang pergi ke Makkah, setelah membayar beribu ringit tidak berazam untuk menunaikan Umrah? Bagi mereka yang datang dari Madinah, berihramlah di Bir Ali. Bagi mereka yang terus ke Makkah melalui kapal terbang yang mendarat di Jeddah, maka ia akan melalui salah satu dari miqat ini - Qarnul Manazil, Juhfah atau Zulhulaifah.

Malahan, menurut Syeikh Ibn Utsaimin rh, bagi mereka yang ingin melawat sahabat di Jeddah, dan mempunyai niat untuk menunaikan Umrah juga, dia dikehendaki melakukan Ihram di Miqat, sebelum kapal terbang mendarat di Jeddah. {Majmu' Fataawa al-Syiekh Ibn Utsaimin, 21/329).

Kesimpulannya, bagi mereka yang mempunyai Niat untuk menunaikan Umrah, hendaklah dia berihram di Miqat, sebelum memasuki Makkah. Jika tidak demikian, maka dia dikenakan dam. WA.
Menurut pendapat yang Asah, iaitu yang terkuat dalam Mazhab Imam As-Syafie, masuk ke Makkah dengan berniat ihram adalah mustahab. Harus seseorang itu masuk ke Makkah tanpa berihram.
Seseorang yang masuk ke Makkah tanpa Ihram disebut orang halal, namun begitu sunat baginya mengerjakan tawaf qudum, tanpa perlu mengerjakan ibadah sai sesudahnya.
Wali, iaitu bapa atau datuk, wajib meniatkan Ihram bagi anaknya yang belum mumaiyiz, sama ada wali itu telah berniat ihram umrah atau tidak, ini jika wali tersebut berkehendak anak itu mengerjakan ibadah umrah.
Harus bagi kanak-kanak yang mumaiyiz berniat ihram umrah dengan sendirinya, dengan syarat dia telah mendapat keizinan walinya terlebih dahulu, dan harus pula bagi wali anak itu berniat ihram untuk anak tersebut.
Tidak harus bagi seseorang yang telah berniat ihram umrah, keluar dari ihramnya sebelum dia menyelesaikan segala rukun umrah, sekalipun ibadah umrah yang dikerjakannya itu adalah umrah sunat.

    No comments:

    Post a Comment